SETIAP kejayaan dan kurniaan yang dianugerahkan kepada manusia, hadir bersama tanggungjawab.

Tanggungjawab itu akan ditanya dan dipersoalkan di akhirat kelak.

Itulah yang mendorong bekas mak nyah, Safiey Ilias, untuk berubah ke arah kebaikan dan menyeru masyarakat mengambil jalan yang sama.

Kisah Safiey atau nama sebenarnya Safiuddin Ilias, yang kembali ke pangkal jalan selepas bertahun-tahun hidup sebagai mak nyah, menjadi perkongsian viral di laman sosial beberapa hari lalu.

Dalam temuramah dalam sebuah program televisyen, Safiey memberitahu dia tidak kisah jika caranya dianggap riak oleh sesetengah pihak, kerana niatnya hanya ingin berdakwah.

Atas sebab itu, dia juga bercadang mahu menceburkan diri dalam kumpulan tabligh satu hari nanti.

Sifat lembut

Mengimbas kembali cara hidupnya yang terpesong jauh dari landasan Islam, lelaki itu yang bakal genap usia 22 tahun pada 19 Mei ini menceritakan, dia diberi rasa dan sifat lembut sejak berusia lima tahun.

Kemuncaknya adalah sewaktu dia belajar di universiti, apabila dia sering disindir dan diejek oleh rakan-rakan sebagai 'mak nyah'.

"Situasi itu membuatkan saya jadi ego. Alang-alang orang dah panggil saya mak nyah, baik saya jadi mak nyah dalam erti kata yang sebenarnya.

"Saya nak buktikan saya boleh jadi lebih cantik dari mereka (golongan perempuan)," cerita Safiey.

Suka atau tidak, kata Safiey, pelabelan dan penilaian 'mak nyah' yang sering diberikan masyarakat kepada golongan lelaki lembut, langsung tidak membantu mereka untuk berubah.

Masa lalu

Safiey yang sudah mula berniaga sejak usia 16 tahun dan mencapai gelaran jutawan pada usia 19 tahun, mengakui mempunyai niat untuk membantu golongan mak nyah kembali ke pangkal jalan.

Namun begitu, anak kelahiran Pahang itu terlebih dahulu mahu memastikan dirinya dilengkapi ilmu agama yang mencukupi, selain mahu mendalami teknik dakwah yang betul, seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Sebelum mengakhiri bicara dalam program televisyen itu, Safiey sempat berkongsi impiannya, iaitu ingin menebus masa lalunya yang penuh kegelapan.

"Saya dah bazirkan banyak masa di jalan maksiat, sekarang saya nak tebus semua itu," ujarnya.